Tatkala Kita Di Uji : Episod 2 : Kurang atau Cukup?

 

Episod 2 : Ujian Kekurangan Harta

 

Hidup ibarat roda, ada masanya kita berada di atas, ada ketika kita berada di bawah. Keluarga kami juga tidak terlepas dari ujian getirnya kesusahan hidup. Dari rumah yang berdindingkan konkrit dan beratap genting, hinggalah kami terpaksa akur dengan percaturan hidup untuk tinggal di bawah kolong rumah yang berdindingkan canvas dan berlantaikan tanah yang dilapik dengan kotak.

 

Ikrar hati dan azam ku ketika itu adalah untuk mengeluarkan keluarga ku dari belenggu kemiskinan. Pesan arwah abah dan mama ketika itu, “Belajar lah bersungguh-sungguh nak sebab itulah bekalmu…kita orang miskin… enda ada apa-apa yang kami boleh kasi tinggal untuk kau…ilmu itulah hartamu…”.

 

Saat paling pahit ialah apabila sehari sebelum peperiksaan SPM bermula aku menerima sepucuk surat dari mama yang mencurah isi hatinya tentang kesempitan hidup yang dialami. Pada ketika itu aku masih lagi berada di asrama sekolah.

 

Memang menjadi tabiat mama dan abah untuk tidak menyusahkan anak-anak. Walaupun dua orang abang ku telah bekerja pada waktu itu, tetapi pendapatan mereka bukanlah besar. Maka mama dan abah mengambil keputusan untuk menanggung perbelajaan mereka sendiri, aku dan adik ku yang masih kecil dengan berjaja menjual kuih dan mee di pasar.

Sebahagian perbelanjaan ku pula ditanggung dengan duit biasiswa yang ku terima daripada penaja.

 

Sewaktu aku menjawap kertas pertama Bahasa Malaysia SPM 1991, bercucuran airmata ku. Aku betul-betul nekad walaupun apa pun yang terjadi aku mesti cemerlang dalam pelajaran, “I want to be the best among the best”. Habiskan semuanya secepat yang mungkin, cari kerja dan jaga mama dan abah. Itu lah “Big Why” ku ketika itu.

 

Halangan demi halangan ku tempuh. Tiada apa pun yang dapat menahanku ketika itu. Alhamdulillah berkat doa mama dan keluarga, aku berjaya menjadi pelajar cemerlang di sekolah ku ketika itu yang juga merupakan rekod terbaik untuk sekolahku semenjak ia ditubuhkan.

 

Hadiah istimewa untuk guru-guruku yang berkorban dan meletakkan keyakinan yang tinggi terhadap ‘batch’ kami pada untuk memartabatkan kedudukan sekolah yang agak ketinggalan berbanding sekolah-sekolah lain disekitarnya.

 

Namun selepas mendapat keputusan cemerlang masalah lain pula muncul. Keluarga ku tidak mampu untuk membiayai perrbelanjaan ku untuk masuk ke universiti. Buntu fikiran ku, hingga ada di suatu ketika aku merancang untuk membeli loteri untuk beradu nasib, manalah tahu aku dapat menang loteri.

 

Apabila tiba di hadapan kedai loteri, aku terpaku, tak tergerak langkahku untuk masuk…berbagai perasaan bermain dibenakku di ketika itu..sempat aku bertanya, “Ya Allah, adakah kau akan maafkan aku jika aku membuat dosa ini..bukan untuk orang lain ya Allah..untuk keluarga ku…aku betul betul perlu teruskan perjuangan ku ke universiti…berilah aku peluang…”.

 

Orang yang lalu lalang hanya memandangku…apa tidaknya, gadis belasan tahun yang bertudung berdiri terpacul di hadapan kedai loteri. Selepas beberapa ketika berdiri di situ, aku batalkan niatku dan dengan langkah yang longlai berlalu pergi. Terrnyata bukan itu rancangan Tuhan untuk ku.

 

Akur pada keadaan, 2 tawaran universiti terpaksa ku tolak. Satu dari UKM dan satu lagi dari UIA untuk dua jurusan berbeza. Dengan pujukan abangku yang sulung, aku terpaksa berpuas hati dengan melanjutkan pelajaran ke tingkatan 6 sebab itu sahaja yang dapat dibantu olehnya ketika itu. Walaupun hati kecewa dan sayu, aku mula mendaftar di tingkatan 6 Sekolah Menengah Maktab Sabah dalam bulan Februari 1992.

Pasrah dan redha dengan apa yang suda tertulis untuk ku, namun dalam hatiku masih terus berbisik “Ya Allah, I really need a miracle…”.

 

Orang selalu berkata “Keajaiban itu berlaku setiap hari...”. Keajaiban berlaku di mana sahaja dan Tuhan memberi atas sebab rahmahNya kepada sesiapa sahaja yang Dia mahu.

 

Tanpa diduga sekali lagi Allah menunjukkan belas kasihanNya kepada diriku yang sangat lemah ini. Selepas 6 bulan aku berada di dalam tingakatan 6, tiba-tiba aku menerima satu telegram melalui abang ngah ku, panggilan untuk melapor diri ke Yayasan Sabah untuk menerima anugerah.

 

Aku kehairanan “Bila masa aku memohon, aku tak pernah pun tulis surat apa apa…anugerah apa lagi ni..”.

 

Kata abang ku “Pigi saja la bah…manatau rezeki kau kali ni…”.

 

Aku hanya mengangguk “Ok”.

 

Keesokan harinya setelah aku sampai di Ibu Pejabat Yayasan Sabah, barulah aku diberitahu bahawa aku telah tersenarai diantara 10 pelajar terbaik Sabah yang telah dipilih untuk menerima Anugerah Biasiswa Cemerlang Siri Ke-II dibawah tajaan Yayasan Sabah.

 

Ia merupakan biasiswa penuh dan dengannya aku ditawarkan tempat untuk melanjutkan pelajaran didalam “American Associate Degree Programme” yang mana 2 tahun sesi pembelajaran akan di lakukan di Semenanjung Malaysia dan manakala baki 2 tahun akan dilanjutkan di United States of America sehingga graduasi. Seluruh perbelanjaan akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak penaja.

 

Macam mimpi aku rasa waktu tu. Bila ditanya bidang apa aku minat, aku jadi ‘blank’ dan tidak tahu untuk memilih apa sebab telah ku simpan jauh-jauh harapan dan impian itu di tempat yang paling dalam.

 

Pegawai yang diamanahkan mengurus hal ehwal ku hanya tersenyum dan memberitahu ku untuk kembali dengan keputusan dalam masa 2 hari. Ku sampaikan berita ini kepada mama dan abah jelas mereka menghela nafas lega dan bangga dengan pencapaian ku.

 

Pada saat itu aku sedar, sebenarnya Allah sentiasa mendengar dan melihat apa yang kita minta dan buat. Malah Dia tahu apa yang kita akan minta sebelum benda itu terdetik di hati kita. Macam mana pun baik perancangan kita, perancangan Allah tetap yang unggul dan indah.

 

Jangan sesekali rasa penat atau bosan jika doa mu masih belum terkabul sebab Dia tahu bilakah masa yang sesuai untuk Dia memberi. Jangan persoalkan kenapa cepat atau lambat, sebab Dia tahu apa yang kamu perlu dan bagaimana benda itu akan sampai kepada kamu. Dia Maha Bijaksana!

 

Apa yang kita fikir, apa yang kita rasa, apa yang kita cakap, dan apa yang kita buat adalah doa. Yakin jak…”Innallaha Ma’ana”..sesungguhnya Allah bersama-sama dengan kita.


Ramadan Ku : Rezeki Tanpa Duit

 Salam Ramadan ke-9

Alhamdulillah. Kita berjaya menjejak kaki sampai ke Ramadan yang ke-9. Rezeki kan..? Tapi rezeki yang ini xda tanda RM. Adakah ini bagus ? Sangat bagus..sebab pada waktu kita rasa letih berpuasa...ada yang x sempat sampai sejauh ini, ada yang sakit, ada yang sihat tapi tak mampu jugak puasa atas sebab-sebab yang tersendiri.

Ramadan kali ni aku ambil keputusan untuk bercuti disepanjang bulan ibadah ni...ada hikmah jugak aku sakit...Allah suruh rehat dan tumpukan pada amalan istimewa Ramadan...bukan selalu kan.😊

Jadi apa lagi aktiviti aku? Aku ZIARAH...dan disitu aku perasan banyak sangat sebenarnya Allah dah bagi dalam hidup aku...cuma kita yang kurang syukur...kita cuma syukur dengan gembira bila ada unsur RM. Kita x belajar untuk gembira dengan apa yang Allah gembira untuk kita..faham ke faham?

Syukur tu syukur jugak...tapi mode nya atau tonenya kurang sikit...betul ke betul?? 😊 Fitrah manusia kan...

Semasa ziarah... Aku observe beberapa perkara... Ada ahli keluarga yang sebenarnya strugle...tapi simpan sendiri...xda komplen...semua dihadapi dengan syukur dan sabar. Dapat menjamu tetamu seadanya...Alhamdulillah

Ada yang berhajat...tapi belum kesampaian...sedih dengar...tapi yakin satu ja...setiap sesuatu sudah tertulis...dan semua doa tu Allah genggam. Allah akan lepas kan satu persatu mengikut masa Nya..bukan masa kita k...faham ke faham?

Orang tanya aku...x rugi ka x buka kedai sebulan..? Aku cuma senyum and jawab...entah...Aku cuma letakkan semuanya pada Allah...ada beberapa misi aku berhajat nak sempurnakan Ramadan kali ni ...semoga Allah permudahkan...Amiin.

Kun anta/ how about you..? Apa target untuk Ramadan kali ni...? Jangan biarkan ia berlalu begitu saja k...jangan sesekali keluar darinya tanpa mendapat apa-apa melainkan lapar dan dahaga serta penat dan ngantuk.

Wsalam..

Ramadan Ku

Alhamdulillah 

Hari ni masuk Ramadan ke-5 untuk kita semua... cepatnya masa berlalu.

Dalam keadaan diri yang kurang sihat...not 100% of myself...Allah masih lagi bagi peluang untuk menunaikan ibadah istimewa di bulan yang sangat sangat istimewa ini...Kata Rasulullah, "Seandaianya umat manusia mengetahui pahala ibadah di bulan Ramadan, nescaya mereka akan meminta agar satu tahun penuh menjadi Ramadan" (HR Tabrani, Ibnu Khuzaimah dan Baihaqi).

Sampai begitu sekali istimewanya bulan puasa ni. 

Lepas tu Allah lagi berfirman dalam sebuah Hadith Qudsi, "Setiap amalan anak Adam adalah untuknya melainkan puasa. Sesungguhnya puasa itu milik Aku (Allah) dan Akulah yang akan membalasnya: (Hadith Muttafaqun 'Alaihi).

Maksudnya nabi tak tahu, malaikat pun tak tahu apa pahala untuk puasa kita ni sebab puasa ni kita buat semata mata untuk Allah. Bayangkan, sedang kita dapat hadiah dari menteri pun pun dah kita rasa grand, kita rasa berbunga bunga hati...ini kan pula Allah yang commit nak bagi...Tuhan Sekelian Alam...Yang Memiliki seluruh perbendaharaan langit dan bumi...janji akan bagi ganjaran untuk puasa yang kita buat khusus dan ikhlas kerana Allah s.w.t...Subhanallah Tabarakallah... 

Semoga ini menjadi motivasi untuk kita semua menjaga puasa kita sebaik yang mungkin, inshaAllah. Doa orang berpuasa adalah doa yang mustajab. 

Blog ni aku baru aktifkan balik setelah sekian lama aku berhenti menulis..sebab sibuk dengan urusan dunia yang tipu tipu ni...😅  Bila baca balik posting lama-lama...terhibur pulak hati dan ada juga post pesanan yang mengingatkan kepada diri sendiri yang pelupa ni... 

Semoga kalian yang membaca blog ni, mendapat manfaat dan menyebarkan semula inti kebaikan yang anda peroleh darinya...😊

Wsalam.

Tatkala Kita Di Uji : Episod 1 : Ujian Ketakutan

 



Semenjak kecil aku merupakan anak yang sangat manja, dijaga dengan penuh kasih sayang oleh mama dan abah serta adik beradik seperti menatang minyak yang penuh. Pantang menangis sedikit, pasti seluruh isi rumah akan dimarahi oleh arwah abah yang sememangnya dikenali dengan kegarangannya (semoga Allah merahmati roh abah dan tenang disisiNya di sana).

 

Orang yang paling ku takuti sebenarnya adalah abah walaupun pada hakikatnya arwah mama lebih garang. Orang yang paling ku sanjungi juga abah. Malah adiwiraku juga abah. Adiwira ku ini suka membela golongan lemah yang ditindas. Suaranya kalau bertempik memang gemuruh di angkasa seperti dalam lagu Faizal Tahir “..gemuruh jiwa..”. Tidak ada seorang pun yang akan berani bergerak bila dimarahi abah, walaupun sekadar menggaru hidung. Itu lah personaliti abah kami.

 

Disebalik sikapnya yang tegas itu, tidak pernah sekalipun dia menjentik kami adik-beradik. Begitulah sayangnya abah kepada kami semua. Makan minum kami adalah keutamaannya. Bahkan dialah yang memasak untuk kami. Bukan kerana mama tidak pandai, tetapi abah dengan rela hati mengambil tanggungjawab ini kerana sayangnya yang menggunung pada mama.

 

Namun rasa takut dan kegerunan ku itu rupanya tidak terhad pada abah semata-mata. Aku sebenarnya takut ditinggal bersendirian, dan aku amat takut hantu walaupun aku belum pernah melihat bagaimanakah sebenarnya rupa paras hantu itu. Pernah orang kata hantu itu cantik. Ada juga yang mengatakan amat buruk. Wallahualam.

 

Dipendekkan cerita, selepas lulus darjah enam, keputusan peperiksaan penilaian ku yang sederhana itu telah melayakkan aku untuk masuk ke salah sebuah sekolah menengah agama berasrama yang agak terkenal pada waktu itu, SMA Limauan. Ia juga berkat pertolongan dan kesungguhan usaha seorang ustazah yang banyak membimbingku semasa berada di sekolah rendah. Sebenarnya aku bukanlah datang dari keluarga yang tinggi pengetahuan agama. Tidak pernah aku bermimpi untuk masuk ke sekolah menengah agama. Kalau nak diikutkan ramai lagi pelajar yang lebih layak masuk ke sekolah itu berbanding aku yang terlalu cetek pengetahuan tentang agama. Tapi Allah itu sangat-sangat pemurah. Dia telah memberi ku rezeki untuk belajar di tempat yang sangat baik. Dia tahu apa yang aku perlu. Alhamdulillah.

 

Namun, disebalik keseronokan itu banyak pula kisah kisah seram yang ku dengar sebelum aku berangkat dan mendaftar masuk ke sekolah tersebut. Orang tak berkepala, pontianak, hantu kokok, toyol dan macam-macam lagi. Sampai ada yang berkata, di sinilah sarang segala makhluk halus. Hatiku mula berbelah bahagi, ingin lansung masuk ke antara sekolah terbaik di Sabah ketika itu atau undur saja sebab takut hantu. Bagi insan yang berumur 13 tahun, itulah keputusan yang amat besar yang perlu dibuat ketika itu. Lebih besar dari masalah perang dunia kedua!

 

Setelah berfikir panjang, dengan berat hati ku paksa juga diri ini untuk meneruskan perjuanganku di SMA disebabkan kalah malu dengan kawan-kawan dan ustazah yang bersungguh-sungguh untuk mengurus kemasukan ku ke sekolah itu.

 

“Life goes on”. Cabaran paling besar ketika diawal kemasukanku ialah setiap kali solat subuh, aku perlu melalui 2 atau 3 buah kelas yang amat gelap dan suram seorang diri. Biasanya aku akan bergerak lebih awal berbanding orang lain disebabkan aku takut lewat dan takut didenda. Jarak dari bilik asrama ke surau adalah lebih kurang 500 meter.  

 

Setiap kali melalui kawasan itu, akan ku kecilkan kelopak mataku agar medan penglihatanku lebih terhad…ku fokuskan pandanganku ke hadapan jalan tanpa menoleh kiri dan kanan..ku percepatkan langkahku…Apabila sahaja sampai di pintu surau..fuh..lega…Menyesal pun ada waktu tu sebab masuk ke sekolah tersebut..

 

Tapi Allah itu Maha Mengetahui, Dia tahu apa yang kita perlu.

 

Tanpa aku sedar lama kelamaan aku menjadi alah bisa tegal biasa. Perlahan- lahan rasa takut itu dapat ku kawal bila aku mula mengenal Kebesaran Allah, bahawa di luar sana ada satu kuasa yang maha hebat yang tidak ada satupun dapat menggugat kewujudannya. Di sekolah ini aku belajar secara lebih mendalam tentang Islam. Aku belajar berdoa mohon perlindungan dan yakin bahawa segalanya tidak akan berlaku jika tanpa izinNya.

 

Sehabis boleh aku cuba menghafal seberapa banyak ayat suci Al Quran sebagai bekal ku untuk melalui kawasan suram itu walaupun asalnya aku bukanlah seorang yang fasih Al Quran. Disebabkan rasa ketakutan ini aku banyak menghafal surah surah lazim yang dulunya bukanlah keutamaan ku.

 

Jelas hikmah untuk aku dihantar ke sekolah agama ini adalah untuk mendidik jiwaku, mengenal Allah dan mengawal ketakutan bila bersendirian, sebab dihujung kehidupan ini nanti kita akan bersendirian juga akhirnya di tempat yang amat gelap dan sunyi.

 

Walaupun aku hanya berada di SMA untuk seketika, lebih kurang 1 tahun setengah, banyak ilmu yang dapat ku kutip. Kalaulah aku mengambil keputusan untuk undur dan membatalkan niatku untuk ke sekolah itu, mungkin tidak ada dorongan untuk menghafal ayat dan mengenal Allah yang Maha Besar. Bagiku Itu tarbiah pertama.

 

Tatkala Kita Diuji : Prakata




Setiap kali kita berdoa sebenarnya secara tidak lansung kita minta diuji. Sama ada kita sedar atau tidak setiap permintaan kita akan datang bersamanya ujian. Sebab itu ada pepatah barat yang mengatakan   “Becareful with what you wish for”. Ujian itu akan datang sama ada sebelum permintaan itu dipenuhi atau setelah permintaan itu dipenuhi.

“Dan sungguh akan Kami berikan ujian kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Al Baqarah, Ayat 155)

 

Begitulah indah bait-bait kalam suci ini disusun oleh Maha Pencipta, Allah, Tuhan sekelian alam. Jelas sekali amaranNnya. Peringatan dalam ayat yang telus tapi lembut, umpama berkata-kata dengan anak-anak kecil yang dijaga tertib sensitif hatinya agar tidak tercalar, agar lebih mudah menuruti kata.

 

Tidak ada satu makhluk pun dalam dunia ni yang terlepas dari ujian. Dari sekecil-kecil ujian sehinggalah sehebat-hebatnya mengikut persepsi dan keupayaan masing-masing.

 

Berulang kali dinyatakan dalam Al Quran bahawa ujian itu pasti datang. Ujian itu mesti. Bersiap dengan ujian. Ujian membina sahsiah diri. Ujian mentarbiah minda dan akhlak. Namun, masih ramai yang lalai. Masih ramai gagal merungkai hikmah yang tersirat di sebalik yang tersurat.

 

Ini mengingatkan aku kepada serangkai kata hikmah barat yang ingin ku pinjam :

 

“Life is the most difficult exam. Many people fail because they try to copy others. Not realizing that everyone has a different question paper.”

 

Kalau diterjemahkan ke dalam bahasa kita untuk lebih biasa di lidah ia membawa erti :

“Hidup ni adalah ujian getir yang teramat susah. Ramai yang gagal sebab mereka ingin meniru orang lain..tanpa menyedari yang sebenarnya setiap orang mempunyai kertas ujian yang berbeza..”


Pada setiap laluan kehidupan kita akan diuji dengan berbagai perkara untuk memastikan kita bersiap sedia untuk beranjak dari satu fasa ke satu fasa yang lain dan keluar dari zon selesa. Maka, seharusnya kita berbahagia dengan ujian masing-masing kerana ujian yang diturunkan adalah sesuai dengan diri dan keadaan mu. Titik.

 

Beratus kali ku lakukan posmotem. Hatta mungkin ribuan kali tanpa ku sedar, aku berkira-kira untuk berkongsi sedikit dari cebisan kisah hidup ku yang biasa-biasa sahaja tapi mungkin bisa dijadikan iktibar, panduan, atau mungkin sekadar bacaan ringan untuk melepaskan lelah selepas seharian bertungkus lumus berjuang untuk hidup di atas dunia yang bersifat sementara ini. “Nothing last forever”.

 

Amat sukar ku capai keberanian itu sebenarnya. Apa natijahnya perkongsian ini nanti? Apa pandangan orang? Boleh kah diterima? Seribu satu macam persoalan bermain di minda ku.

 

Tetapi aku tergerak untuk meneruskan catatan ini apabila mengenang kata-kata guru ku, “Jangan fikir banyak sangat. Nanti satu apa pun tak jalan... Selagi niat kamu jelas dan kamu tidak melanggar batas undang-undang atau kemanusian ‘Just do it’”.

 

Sesungguhnya perancangan Tuhan itu amat halus dan indah. Dengan izin Allah yang amat mengerti hati ku, aku ditakdirkan untuk hadir ke bengkel penulisan yang dikendalikan oleh Puan Farrahwati Sabli, penulis baru kelahiran Sabah. Orang kita. Semoga Allah membalasnya dengan segala kebaikan dunia dan akhirat untuk segala ilmu yang dikongsi.

 

Allah benar-benar mengerti rontaan jiwaku yang membuak-buak untuk bercerita. Bukan sekadar luahan percuma tapi mungkin diluar sana ada seseorang yang memerlukan satu cetusan idea atau kata-kata semangat untuk apa juga bentuk kesukaran atau kemelut yang dihadapi pada ketika ini.

 

Cerita kita mungkin berbeza, tetapi kadangkala tatacara atau jalan untuk mendapatkan jawapan itu mungkin boleh sahaja sama. Maka apa juga yang bakal ku titipkan hari ini berkemungkinan adalah jawapan untuk doa-doa mereka. Siapa tahu kan?

 

Maka dengan rendah hati ku rungkaikan kisah hidup ku ini yang susur galurnya sedikit-sebanyak berdasarkan ayat suci yang telah ku kongsikan di awal penulisan ini tadi. Semoga perkongsian ini membawa manfaat.


(Bersambung di episod seterusnya)