“Dan sungguh akan Kami berikan ujian kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Al Baqarah, Ayat 155)
Begitulah
indah bait-bait kalam suci ini disusun oleh Maha Pencipta, Allah, Tuhan
sekelian alam. Jelas sekali amaranNnya. Peringatan dalam ayat yang telus tapi
lembut, umpama berkata-kata dengan anak-anak kecil yang dijaga tertib sensitif
hatinya agar tidak tercalar, agar lebih mudah menuruti kata.
Tidak
ada satu makhluk pun dalam dunia ni yang terlepas dari ujian. Dari
sekecil-kecil ujian sehinggalah sehebat-hebatnya mengikut persepsi dan
keupayaan masing-masing.
Berulang
kali dinyatakan dalam Al Quran bahawa ujian itu pasti datang. Ujian itu mesti.
Bersiap dengan ujian. Ujian membina sahsiah diri. Ujian mentarbiah minda dan
akhlak. Namun, masih ramai yang lalai. Masih ramai gagal merungkai hikmah yang
tersirat di sebalik yang tersurat.
Ini
mengingatkan aku kepada serangkai kata hikmah barat yang ingin ku pinjam :
“Life is the most difficult
exam. Many people fail because they try to copy others. Not realizing that
everyone has a different question paper.”
Kalau
diterjemahkan ke dalam bahasa kita untuk lebih biasa di lidah ia membawa erti :
“Hidup ni adalah ujian getir
yang teramat susah. Ramai yang gagal sebab mereka ingin meniru orang
lain..tanpa menyedari yang sebenarnya setiap orang mempunyai kertas ujian yang
berbeza..”
Pada
setiap laluan kehidupan kita akan diuji dengan berbagai perkara untuk
memastikan kita bersiap sedia untuk beranjak dari satu fasa ke satu fasa yang
lain dan keluar dari zon selesa. Maka, seharusnya kita berbahagia dengan ujian
masing-masing kerana ujian yang diturunkan adalah sesuai dengan diri dan
keadaan mu. Titik.
Beratus
kali ku lakukan posmotem. Hatta mungkin ribuan kali tanpa ku sedar, aku
berkira-kira untuk berkongsi sedikit dari cebisan kisah hidup ku yang biasa-biasa
sahaja tapi mungkin bisa dijadikan iktibar, panduan, atau mungkin sekadar
bacaan ringan untuk melepaskan lelah selepas seharian bertungkus lumus berjuang
untuk hidup di atas dunia yang bersifat sementara ini. “Nothing last forever”.
Amat
sukar ku capai keberanian itu sebenarnya. Apa natijahnya perkongsian ini nanti?
Apa pandangan orang? Boleh kah diterima? Seribu satu macam persoalan bermain di
minda ku.
Tetapi
aku tergerak untuk meneruskan catatan ini apabila mengenang kata-kata guru ku, “Jangan fikir banyak sangat. Nanti satu apa
pun tak jalan... Selagi niat kamu jelas dan kamu tidak melanggar batas
undang-undang atau kemanusian ‘Just do it’”.
Sesungguhnya
perancangan Tuhan itu amat halus dan indah. Dengan izin Allah yang amat
mengerti hati ku, aku ditakdirkan untuk hadir ke bengkel penulisan yang
dikendalikan oleh Puan Farrahwati Sabli, penulis baru kelahiran Sabah. Orang
kita. Semoga Allah membalasnya dengan segala kebaikan dunia dan akhirat untuk
segala ilmu yang dikongsi.
Allah
benar-benar mengerti rontaan jiwaku yang membuak-buak untuk bercerita. Bukan
sekadar luahan percuma tapi mungkin diluar sana ada seseorang yang memerlukan
satu cetusan idea atau kata-kata semangat untuk apa juga bentuk kesukaran atau
kemelut yang dihadapi pada ketika ini.
Cerita
kita mungkin berbeza, tetapi kadangkala tatacara atau jalan untuk mendapatkan
jawapan itu mungkin boleh sahaja sama. Maka apa juga yang bakal ku titipkan
hari ini berkemungkinan adalah jawapan untuk doa-doa mereka. Siapa tahu kan?
Maka
dengan rendah hati ku rungkaikan kisah hidup ku ini yang susur galurnya sedikit-sebanyak
berdasarkan ayat suci yang telah ku kongsikan di awal penulisan ini tadi. Semoga
perkongsian ini membawa manfaat.
(Bersambung di episod seterusnya)
