Ramadan Ku

Alhamdulillah 

Hari ni masuk Ramadan ke-5 untuk kita semua... cepatnya masa berlalu.

Dalam keadaan diri yang kurang sihat...not 100% of myself...Allah masih lagi bagi peluang untuk menunaikan ibadah istimewa di bulan yang sangat sangat istimewa ini...Kata Rasulullah, "Seandaianya umat manusia mengetahui pahala ibadah di bulan Ramadan, nescaya mereka akan meminta agar satu tahun penuh menjadi Ramadan" (HR Tabrani, Ibnu Khuzaimah dan Baihaqi).

Sampai begitu sekali istimewanya bulan puasa ni. 

Lepas tu Allah lagi berfirman dalam sebuah Hadith Qudsi, "Setiap amalan anak Adam adalah untuknya melainkan puasa. Sesungguhnya puasa itu milik Aku (Allah) dan Akulah yang akan membalasnya: (Hadith Muttafaqun 'Alaihi).

Maksudnya nabi tak tahu, malaikat pun tak tahu apa pahala untuk puasa kita ni sebab puasa ni kita buat semata mata untuk Allah. Bayangkan, sedang kita dapat hadiah dari menteri pun pun dah kita rasa grand, kita rasa berbunga bunga hati...ini kan pula Allah yang commit nak bagi...Tuhan Sekelian Alam...Yang Memiliki seluruh perbendaharaan langit dan bumi...janji akan bagi ganjaran untuk puasa yang kita buat khusus dan ikhlas kerana Allah s.w.t...Subhanallah Tabarakallah... 

Semoga ini menjadi motivasi untuk kita semua menjaga puasa kita sebaik yang mungkin, inshaAllah. Doa orang berpuasa adalah doa yang mustajab. 

Blog ni aku baru aktifkan balik setelah sekian lama aku berhenti menulis..sebab sibuk dengan urusan dunia yang tipu tipu ni...😅  Bila baca balik posting lama-lama...terhibur pulak hati dan ada juga post pesanan yang mengingatkan kepada diri sendiri yang pelupa ni... 

Semoga kalian yang membaca blog ni, mendapat manfaat dan menyebarkan semula inti kebaikan yang anda peroleh darinya...😊

Wsalam.

Tatkala Kita Di Uji : Episod 1 : Ujian Ketakutan

 



Semenjak kecil aku merupakan anak yang sangat manja, dijaga dengan penuh kasih sayang oleh mama dan abah serta adik beradik seperti menatang minyak yang penuh. Pantang menangis sedikit, pasti seluruh isi rumah akan dimarahi oleh arwah abah yang sememangnya dikenali dengan kegarangannya (semoga Allah merahmati roh abah dan tenang disisiNya di sana).

 

Orang yang paling ku takuti sebenarnya adalah abah walaupun pada hakikatnya arwah mama lebih garang. Orang yang paling ku sanjungi juga abah. Malah adiwiraku juga abah. Adiwira ku ini suka membela golongan lemah yang ditindas. Suaranya kalau bertempik memang gemuruh di angkasa seperti dalam lagu Faizal Tahir “..gemuruh jiwa..”. Tidak ada seorang pun yang akan berani bergerak bila dimarahi abah, walaupun sekadar menggaru hidung. Itu lah personaliti abah kami.

 

Disebalik sikapnya yang tegas itu, tidak pernah sekalipun dia menjentik kami adik-beradik. Begitulah sayangnya abah kepada kami semua. Makan minum kami adalah keutamaannya. Bahkan dialah yang memasak untuk kami. Bukan kerana mama tidak pandai, tetapi abah dengan rela hati mengambil tanggungjawab ini kerana sayangnya yang menggunung pada mama.

 

Namun rasa takut dan kegerunan ku itu rupanya tidak terhad pada abah semata-mata. Aku sebenarnya takut ditinggal bersendirian, dan aku amat takut hantu walaupun aku belum pernah melihat bagaimanakah sebenarnya rupa paras hantu itu. Pernah orang kata hantu itu cantik. Ada juga yang mengatakan amat buruk. Wallahualam.

 

Dipendekkan cerita, selepas lulus darjah enam, keputusan peperiksaan penilaian ku yang sederhana itu telah melayakkan aku untuk masuk ke salah sebuah sekolah menengah agama berasrama yang agak terkenal pada waktu itu, SMA Limauan. Ia juga berkat pertolongan dan kesungguhan usaha seorang ustazah yang banyak membimbingku semasa berada di sekolah rendah. Sebenarnya aku bukanlah datang dari keluarga yang tinggi pengetahuan agama. Tidak pernah aku bermimpi untuk masuk ke sekolah menengah agama. Kalau nak diikutkan ramai lagi pelajar yang lebih layak masuk ke sekolah itu berbanding aku yang terlalu cetek pengetahuan tentang agama. Tapi Allah itu sangat-sangat pemurah. Dia telah memberi ku rezeki untuk belajar di tempat yang sangat baik. Dia tahu apa yang aku perlu. Alhamdulillah.

 

Namun, disebalik keseronokan itu banyak pula kisah kisah seram yang ku dengar sebelum aku berangkat dan mendaftar masuk ke sekolah tersebut. Orang tak berkepala, pontianak, hantu kokok, toyol dan macam-macam lagi. Sampai ada yang berkata, di sinilah sarang segala makhluk halus. Hatiku mula berbelah bahagi, ingin lansung masuk ke antara sekolah terbaik di Sabah ketika itu atau undur saja sebab takut hantu. Bagi insan yang berumur 13 tahun, itulah keputusan yang amat besar yang perlu dibuat ketika itu. Lebih besar dari masalah perang dunia kedua!

 

Setelah berfikir panjang, dengan berat hati ku paksa juga diri ini untuk meneruskan perjuanganku di SMA disebabkan kalah malu dengan kawan-kawan dan ustazah yang bersungguh-sungguh untuk mengurus kemasukan ku ke sekolah itu.

 

“Life goes on”. Cabaran paling besar ketika diawal kemasukanku ialah setiap kali solat subuh, aku perlu melalui 2 atau 3 buah kelas yang amat gelap dan suram seorang diri. Biasanya aku akan bergerak lebih awal berbanding orang lain disebabkan aku takut lewat dan takut didenda. Jarak dari bilik asrama ke surau adalah lebih kurang 500 meter.  

 

Setiap kali melalui kawasan itu, akan ku kecilkan kelopak mataku agar medan penglihatanku lebih terhad…ku fokuskan pandanganku ke hadapan jalan tanpa menoleh kiri dan kanan..ku percepatkan langkahku…Apabila sahaja sampai di pintu surau..fuh..lega…Menyesal pun ada waktu tu sebab masuk ke sekolah tersebut..

 

Tapi Allah itu Maha Mengetahui, Dia tahu apa yang kita perlu.

 

Tanpa aku sedar lama kelamaan aku menjadi alah bisa tegal biasa. Perlahan- lahan rasa takut itu dapat ku kawal bila aku mula mengenal Kebesaran Allah, bahawa di luar sana ada satu kuasa yang maha hebat yang tidak ada satupun dapat menggugat kewujudannya. Di sekolah ini aku belajar secara lebih mendalam tentang Islam. Aku belajar berdoa mohon perlindungan dan yakin bahawa segalanya tidak akan berlaku jika tanpa izinNya.

 

Sehabis boleh aku cuba menghafal seberapa banyak ayat suci Al Quran sebagai bekal ku untuk melalui kawasan suram itu walaupun asalnya aku bukanlah seorang yang fasih Al Quran. Disebabkan rasa ketakutan ini aku banyak menghafal surah surah lazim yang dulunya bukanlah keutamaan ku.

 

Jelas hikmah untuk aku dihantar ke sekolah agama ini adalah untuk mendidik jiwaku, mengenal Allah dan mengawal ketakutan bila bersendirian, sebab dihujung kehidupan ini nanti kita akan bersendirian juga akhirnya di tempat yang amat gelap dan sunyi.

 

Walaupun aku hanya berada di SMA untuk seketika, lebih kurang 1 tahun setengah, banyak ilmu yang dapat ku kutip. Kalaulah aku mengambil keputusan untuk undur dan membatalkan niatku untuk ke sekolah itu, mungkin tidak ada dorongan untuk menghafal ayat dan mengenal Allah yang Maha Besar. Bagiku Itu tarbiah pertama.