Tatkala Kita Di Uji : Episod 2 : Kurang atau Cukup?

 

Episod 2 : Ujian Kekurangan Harta

 

Hidup ibarat roda, ada masanya kita berada di atas, ada ketika kita berada di bawah. Keluarga kami juga tidak terlepas dari ujian getirnya kesusahan hidup. Dari rumah yang berdindingkan konkrit dan beratap genting, hinggalah kami terpaksa akur dengan percaturan hidup untuk tinggal di bawah kolong rumah yang berdindingkan canvas dan berlantaikan tanah yang dilapik dengan kotak.

 

Ikrar hati dan azam ku ketika itu adalah untuk mengeluarkan keluarga ku dari belenggu kemiskinan. Pesan arwah abah dan mama ketika itu, “Belajar lah bersungguh-sungguh nak sebab itulah bekalmu…kita orang miskin… enda ada apa-apa yang kami boleh kasi tinggal untuk kau…ilmu itulah hartamu…”.

 

Saat paling pahit ialah apabila sehari sebelum peperiksaan SPM bermula aku menerima sepucuk surat dari mama yang mencurah isi hatinya tentang kesempitan hidup yang dialami. Pada ketika itu aku masih lagi berada di asrama sekolah.

 

Memang menjadi tabiat mama dan abah untuk tidak menyusahkan anak-anak. Walaupun dua orang abang ku telah bekerja pada waktu itu, tetapi pendapatan mereka bukanlah besar. Maka mama dan abah mengambil keputusan untuk menanggung perbelajaan mereka sendiri, aku dan adik ku yang masih kecil dengan berjaja menjual kuih dan mee di pasar.

Sebahagian perbelanjaan ku pula ditanggung dengan duit biasiswa yang ku terima daripada penaja.

 

Sewaktu aku menjawap kertas pertama Bahasa Malaysia SPM 1991, bercucuran airmata ku. Aku betul-betul nekad walaupun apa pun yang terjadi aku mesti cemerlang dalam pelajaran, “I want to be the best among the best”. Habiskan semuanya secepat yang mungkin, cari kerja dan jaga mama dan abah. Itu lah “Big Why” ku ketika itu.

 

Halangan demi halangan ku tempuh. Tiada apa pun yang dapat menahanku ketika itu. Alhamdulillah berkat doa mama dan keluarga, aku berjaya menjadi pelajar cemerlang di sekolah ku ketika itu yang juga merupakan rekod terbaik untuk sekolahku semenjak ia ditubuhkan.

 

Hadiah istimewa untuk guru-guruku yang berkorban dan meletakkan keyakinan yang tinggi terhadap ‘batch’ kami pada untuk memartabatkan kedudukan sekolah yang agak ketinggalan berbanding sekolah-sekolah lain disekitarnya.

 

Namun selepas mendapat keputusan cemerlang masalah lain pula muncul. Keluarga ku tidak mampu untuk membiayai perrbelanjaan ku untuk masuk ke universiti. Buntu fikiran ku, hingga ada di suatu ketika aku merancang untuk membeli loteri untuk beradu nasib, manalah tahu aku dapat menang loteri.

 

Apabila tiba di hadapan kedai loteri, aku terpaku, tak tergerak langkahku untuk masuk…berbagai perasaan bermain dibenakku di ketika itu..sempat aku bertanya, “Ya Allah, adakah kau akan maafkan aku jika aku membuat dosa ini..bukan untuk orang lain ya Allah..untuk keluarga ku…aku betul betul perlu teruskan perjuangan ku ke universiti…berilah aku peluang…”.

 

Orang yang lalu lalang hanya memandangku…apa tidaknya, gadis belasan tahun yang bertudung berdiri terpacul di hadapan kedai loteri. Selepas beberapa ketika berdiri di situ, aku batalkan niatku dan dengan langkah yang longlai berlalu pergi. Terrnyata bukan itu rancangan Tuhan untuk ku.

 

Akur pada keadaan, 2 tawaran universiti terpaksa ku tolak. Satu dari UKM dan satu lagi dari UIA untuk dua jurusan berbeza. Dengan pujukan abangku yang sulung, aku terpaksa berpuas hati dengan melanjutkan pelajaran ke tingkatan 6 sebab itu sahaja yang dapat dibantu olehnya ketika itu. Walaupun hati kecewa dan sayu, aku mula mendaftar di tingkatan 6 Sekolah Menengah Maktab Sabah dalam bulan Februari 1992.

Pasrah dan redha dengan apa yang suda tertulis untuk ku, namun dalam hatiku masih terus berbisik “Ya Allah, I really need a miracle…”.

 

Orang selalu berkata “Keajaiban itu berlaku setiap hari...”. Keajaiban berlaku di mana sahaja dan Tuhan memberi atas sebab rahmahNya kepada sesiapa sahaja yang Dia mahu.

 

Tanpa diduga sekali lagi Allah menunjukkan belas kasihanNya kepada diriku yang sangat lemah ini. Selepas 6 bulan aku berada di dalam tingakatan 6, tiba-tiba aku menerima satu telegram melalui abang ngah ku, panggilan untuk melapor diri ke Yayasan Sabah untuk menerima anugerah.

 

Aku kehairanan “Bila masa aku memohon, aku tak pernah pun tulis surat apa apa…anugerah apa lagi ni..”.

 

Kata abang ku “Pigi saja la bah…manatau rezeki kau kali ni…”.

 

Aku hanya mengangguk “Ok”.

 

Keesokan harinya setelah aku sampai di Ibu Pejabat Yayasan Sabah, barulah aku diberitahu bahawa aku telah tersenarai diantara 10 pelajar terbaik Sabah yang telah dipilih untuk menerima Anugerah Biasiswa Cemerlang Siri Ke-II dibawah tajaan Yayasan Sabah.

 

Ia merupakan biasiswa penuh dan dengannya aku ditawarkan tempat untuk melanjutkan pelajaran didalam “American Associate Degree Programme” yang mana 2 tahun sesi pembelajaran akan di lakukan di Semenanjung Malaysia dan manakala baki 2 tahun akan dilanjutkan di United States of America sehingga graduasi. Seluruh perbelanjaan akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak penaja.

 

Macam mimpi aku rasa waktu tu. Bila ditanya bidang apa aku minat, aku jadi ‘blank’ dan tidak tahu untuk memilih apa sebab telah ku simpan jauh-jauh harapan dan impian itu di tempat yang paling dalam.

 

Pegawai yang diamanahkan mengurus hal ehwal ku hanya tersenyum dan memberitahu ku untuk kembali dengan keputusan dalam masa 2 hari. Ku sampaikan berita ini kepada mama dan abah jelas mereka menghela nafas lega dan bangga dengan pencapaian ku.

 

Pada saat itu aku sedar, sebenarnya Allah sentiasa mendengar dan melihat apa yang kita minta dan buat. Malah Dia tahu apa yang kita akan minta sebelum benda itu terdetik di hati kita. Macam mana pun baik perancangan kita, perancangan Allah tetap yang unggul dan indah.

 

Jangan sesekali rasa penat atau bosan jika doa mu masih belum terkabul sebab Dia tahu bilakah masa yang sesuai untuk Dia memberi. Jangan persoalkan kenapa cepat atau lambat, sebab Dia tahu apa yang kamu perlu dan bagaimana benda itu akan sampai kepada kamu. Dia Maha Bijaksana!

 

Apa yang kita fikir, apa yang kita rasa, apa yang kita cakap, dan apa yang kita buat adalah doa. Yakin jak…”Innallaha Ma’ana”..sesungguhnya Allah bersama-sama dengan kita.