Semenjak
kecil aku merupakan anak yang sangat manja, dijaga dengan penuh kasih sayang
oleh mama dan abah serta adik beradik seperti menatang minyak yang penuh.
Pantang menangis sedikit, pasti seluruh isi rumah akan dimarahi oleh arwah abah
yang sememangnya dikenali dengan kegarangannya (semoga Allah merahmati roh abah
dan tenang disisiNya di sana).
Orang
yang paling ku takuti sebenarnya adalah abah walaupun pada hakikatnya arwah mama
lebih garang. Orang yang paling ku sanjungi juga abah. Malah adiwiraku juga
abah. Adiwira ku ini suka membela golongan lemah yang ditindas. Suaranya kalau
bertempik memang gemuruh di angkasa seperti dalam lagu Faizal Tahir “..gemuruh
jiwa..”. Tidak ada seorang pun yang akan berani bergerak bila dimarahi abah,
walaupun sekadar menggaru hidung. Itu lah personaliti abah kami.
Disebalik
sikapnya yang tegas itu, tidak pernah sekalipun dia menjentik kami adik-beradik.
Begitulah sayangnya abah kepada kami semua. Makan minum kami adalah
keutamaannya. Bahkan dialah yang memasak untuk kami. Bukan kerana mama tidak
pandai, tetapi abah dengan rela hati mengambil tanggungjawab ini kerana
sayangnya yang menggunung pada mama.
Namun
rasa takut dan kegerunan ku itu rupanya tidak terhad pada abah semata-mata. Aku
sebenarnya takut ditinggal bersendirian, dan aku amat takut hantu walaupun aku
belum pernah melihat bagaimanakah sebenarnya rupa paras hantu itu. Pernah orang
kata hantu itu cantik. Ada juga yang mengatakan amat buruk. Wallahualam.
Dipendekkan cerita, selepas lulus darjah enam, keputusan peperiksaan penilaian ku yang sederhana itu telah melayakkan aku untuk masuk ke salah sebuah sekolah menengah agama berasrama yang agak terkenal pada waktu itu, SMA Limauan. Ia juga berkat pertolongan dan kesungguhan usaha seorang ustazah yang banyak membimbingku semasa berada di sekolah rendah. Sebenarnya aku bukanlah datang dari keluarga yang tinggi pengetahuan agama. Tidak pernah aku bermimpi untuk masuk ke sekolah menengah agama. Kalau nak diikutkan ramai lagi pelajar yang lebih layak masuk ke sekolah itu berbanding aku yang terlalu cetek pengetahuan tentang agama. Tapi Allah itu sangat-sangat pemurah. Dia telah memberi ku rezeki untuk belajar di tempat yang sangat baik. Dia tahu apa yang aku perlu. Alhamdulillah.
Namun,
disebalik keseronokan itu banyak pula kisah kisah seram yang ku dengar sebelum
aku berangkat dan mendaftar masuk ke sekolah tersebut. Orang tak berkepala, pontianak,
hantu kokok, toyol dan macam-macam lagi. Sampai ada yang berkata, di sinilah
sarang segala makhluk halus. Hatiku mula berbelah bahagi, ingin lansung masuk
ke antara sekolah terbaik di Sabah ketika itu atau undur saja sebab takut
hantu. Bagi insan yang berumur 13 tahun, itulah keputusan yang amat besar yang
perlu dibuat ketika itu. Lebih besar dari masalah perang dunia kedua!
Setelah
berfikir panjang, dengan berat hati ku paksa juga diri ini untuk meneruskan
perjuanganku di SMA disebabkan kalah malu dengan kawan-kawan dan ustazah yang
bersungguh-sungguh untuk mengurus kemasukan ku ke sekolah itu.
“Life
goes on”. Cabaran paling besar ketika diawal kemasukanku ialah setiap kali
solat subuh, aku perlu melalui 2 atau 3 buah kelas yang amat gelap dan suram seorang
diri. Biasanya aku akan bergerak lebih awal berbanding orang lain disebabkan aku
takut lewat dan takut didenda. Jarak dari bilik asrama ke surau adalah lebih
kurang 500 meter.
Setiap
kali melalui kawasan itu, akan ku kecilkan kelopak mataku agar medan
penglihatanku lebih terhad…ku fokuskan pandanganku ke hadapan jalan tanpa
menoleh kiri dan kanan..ku percepatkan langkahku…Apabila sahaja sampai di pintu
surau..fuh..lega…Menyesal pun ada waktu tu sebab masuk ke sekolah tersebut..
Tapi
Allah itu Maha Mengetahui, Dia tahu apa yang kita perlu.
Tanpa
aku sedar lama kelamaan aku menjadi alah bisa tegal biasa. Perlahan- lahan rasa
takut itu dapat ku kawal bila aku mula mengenal Kebesaran Allah, bahawa di luar
sana ada satu kuasa yang maha hebat yang tidak ada satupun dapat menggugat
kewujudannya. Di sekolah ini aku belajar secara lebih mendalam tentang Islam.
Aku belajar berdoa mohon perlindungan dan yakin bahawa segalanya tidak akan
berlaku jika tanpa izinNya.
Sehabis
boleh aku cuba menghafal seberapa banyak ayat suci Al Quran sebagai bekal ku untuk
melalui kawasan suram itu walaupun asalnya aku bukanlah seorang yang fasih Al
Quran. Disebabkan rasa ketakutan ini aku banyak menghafal surah surah lazim
yang dulunya bukanlah keutamaan ku.
Jelas
hikmah untuk aku dihantar ke sekolah agama ini adalah untuk mendidik jiwaku, mengenal
Allah dan mengawal ketakutan bila bersendirian, sebab dihujung kehidupan ini nanti
kita akan bersendirian juga akhirnya di tempat yang amat gelap dan sunyi.
Walaupun
aku hanya berada di SMA untuk seketika, lebih kurang 1 tahun setengah, banyak
ilmu yang dapat ku kutip. Kalaulah aku mengambil keputusan untuk undur dan
membatalkan niatku untuk ke sekolah itu, mungkin tidak ada dorongan untuk
menghafal ayat dan mengenal Allah yang Maha Besar. Bagiku Itu tarbiah pertama.
